Saham Bentley Music Group Berhad (BMGB) melonjak 25% kepada RM0.15 pada hari penyenaraian sulungnya di pasaran LEAP Bursa Malaysia, berbanding harga rujukan RM0.12 dengan jumlah dagangan permulaan 10,000 unit.
Penyedia lengkap alat muzik, sistem bunyi dan Pendidikan muzik itu berkata penyenaraian tersebut dijalankan melalui kaedah pengenalan (introduction), melibatkan keseluruhan 250 juta saham biasa syarikat.
Sebelum itu, BMGB melaksanakan penempatan persendirian dengan penerbitan 25 juta saham baharu pada harga RM0.12 seunit, berjaya mengumpul RM3 juta.
Ia berkata dana itu akan digunakan untuk merancakkan rancangan pengembangan strategiknya.
Berdasarkan harga rujukan RM0.12, pasaran modal BMGB dianggarkan bernilai RM30 juta ketika disenaraikan.
DWA Advisory Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Diluluskan dan Penasihat Berterusan bagi penyenaraian syarikat.
BMGB memiliki 50 tahun sejarah dalam industri muzik Malaysia dan mengurus empat kedai pameran runcit di Kuala Lumpur, Selangor, Penang dan Johor dengan keluasan keseluruhan kira-kira 34,000 kaki persegi.
Selain itu, syarikat juga menyediakan pendidikan muzik melalui Bentley Music Academy.
Pengarah Urusan Kumpulan BMGB, Datuk Dr Phua Cheng Chuen berkata penyenaraian bukanlah tujuan akhir, tetapi langkah strategik untuk pertumbuhan yang membuka akses kepada platform modal untuk memacu fasa seterusnya, termasuk pengembangan runcit, digital, dan akademi muzik.
Syarikat merancang membelanjakan kira-kira RM2 juta, atau 66.67% daripada dana, untuk membuka showroom baharu di Sabah atau Sarawak, bagi meningkatkan capaian pasaran di luar Semenanjung Malaysia.
Selain itu, BMGB turut mengembangkan perniagaan dalam talian dan rangkaian pengedar, serta menjalankan projek jualan kepada syarikat korporat, institusi pendidikan, dan kerajaan."
Model perniagaan menyeluruh ini dijangka menyokong pertumbuhan syarikat secara mampan.